Keselamatan Gas
Saya adalah kontraktor pemasangan paip gas dan bercadang untuk memasang sistem perpaipan untuk gas oksigen, hidrogen dan helium di sebuah Hospital. Perlukah saya memohon untuk suatu Kelulusan Untuk Memasang untuk tujuan ini?
Tidak. Anda tidak perlu untuk memohon Kelulusan Untuk Memasang kerana skop Akta Bekalan Gas 1993 (Akta 501) hanya terpakai untuk pembekalan gas petroleum cair, gas asli dan gas asli cecair melalui talian paip atau sistem perpaipan.
Pihak pengurusan di premis saya bercadang untuk menukar penggunaan bahan api dari diesel kepada gas asli. Kepada siapakah saya perlu merujuk pertanyaan-pertanyaan saya?
Anda boleh menghantar pertanyaan anda kepada laman web aduan.st.gov.my dan ST akan memaklumkan anda berkenaan pembekal gas (pengirim) yang ada di kawasan anda supaya anda boleh menghubungi mereka secara terus.
Dahulu, saya sudah mempunyai perniagaan kedai dobi di Kota Kinabalu, Sabah yang telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga. Sekarang, saya bercadang untuk memperkembangkan perniagaan saya ke Kuching, Sarawak. Rekabentuk sistem perpaipan kedai dobi tersebut adalah sama sepertimana di Kota Kinabalu, Sabah. Adakah saya perlu memohon apa-apa kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga?
Tidak, Akta Bekalan Gas 1993 tidak terpakai di Sarawak. Namun demikian, tuan/puan adalah dinasihatkan untuk memperolehi pandangan pihak yang berkenaan mengenai undang-undang yang terpakai di Sarawak.
Saya telah mengambil alih satu perniagaan restoran makanan laut di sebuah pusat membelibelah, yang mana perniagaan yang terdahulu telah ditinggalkan selama lebih kurang 8 bulan. Saya dapati restoran tersebut menggunakan gas LPG yang dibekalkan melalui sistem paip gas. Sistem tangki LPG dan sistem perpaipan tersebut dimiliki oleh pusat membeli-belah tersebut. Pertanyaan saya adalah seperti berikut. Soalan 1: Bolehkah saya mengunakan sistem perpaipan yang sedia ada untuk restoran saya?
Pihak tuan perlu mendapatkan surat ambil alih dari pemilik asal restoran tersebut dan juga salinan kelulusan ATI dan ATO. Jika kesemua dokumen tersebut teratur, pihak tuan perlu melantik kontraktor yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi melakukan penyenggaraan dan ujian semula ke atas sistem paip tersebut. Sekiranya dokumen tersebut tidak diperolehi, pihak tuan perlu memasang sistem perpaipan yang baru dan mendapatkan kelulusan daripada pihak Suruhanjaya Tenaga.
Saya telah mengambil alih satu perniagaan restoran makanan laut di sebuah pusat membeli-belah, yang mana perniagaan yang terdahulu telah ditinggalkan selama lebih kurang 8 bulan. Saya dapati restoran tersebut menggunakan gas LPG yang dibekalkan melalui sistem paip gas. Sistem tangki LPG tersebut dimiliki oleh pusat membeli-belah tersebut. Soalan 2: Adakah restoran saya yang baru ini memerlukan lesen sebelum memulakan operasi?
Lesen tidak diperlukan kerana gas dibekalkan oleh pusat membeli-belah.
Saya bekerja sebagai penyelia mekanikal di resort ABC. Tanggungjawab saya adalah untuk mengawasi kesemua sistem mekanikal termasuklah storan pukal GPC dan sistem perpaipan dengan kapasiti 10kL. Baru-baru ini, sebuah resort baru DEF bersebelahan tempat di mana saya berkerja telah mula beroperasi. Saya dapati pencawang elektrik TNB telah didirikan dengan jarak kurang daripada 4.5m dari tangki storan GPC saya. Mohon pandangan.
Perkara ini hendaklah dimaklumkan kepada pihak pengurusan ABC, terutamanya berkenaan pemasangan pencawang TNB yang baru kerana ini mewujudkan situasi tidak selamat kepada tangki storan GPC tersebut di mana jarak selamat minimum yang ditetapkan oleh MS830 ialah 7.5m daripada bangunan atau sempadan dan 4.5m daripada pencawang TNB.
Tangki tersebut perlu dipindahkan untuk mewujudkan jarak selamat minimum 7.5m. Sekiranya kawasan tersebut adalah terhad, sila rujuk Suruhanjaya Tenaga untuk pandangan.
Saya adalah kontraktor paip gas dan telah dilantik sebagai agen yang sah untuk menjual dan mengedar meter dan alat pengatur tekanan gas bagi jenama BD. Jenama ini dikenali ramai dan mempunyai rekod yang baik di China. Bolehkah saya menggunakan produk tersebut di dalam projek-projek saya? Apakah langkah selanjutnya yang perlu saya ambil untuk menggunakan produk tersebut?
Peralatan tersebut tidak boleh digunakan kecuali ianya telah berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk pautan berikut:
http://www.st.gov.my/index.php/en/applications/gas/product-approval
Syarikat tersebut mestilah berdaftar dan memperolehi Perakuan Kelulusan sebagai pengimport dengan ST selaras dengan peruntukan Peraturan 116 Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997 untuk mengimpot meter dan alat pengatur tekanan gas tersebut.
Syarikat tersebut juga perlu memperolehi Perakuan Kelulusan dari ST untuk peralatan tersebut selaras dengan peruntukan Peraturan 117 Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997. Untuk memperolehi Perakuan Kelulusan ini, anda perlu menghantar kepada ST satu laporan kalibrasi yang dikeluarkan oleh makmal yang menjadi ahli International Laboratories Accreditation Cooperation (ILAC) atau oleh SIRIM Berhad atau badan pengujian pihak ketiga yang diiktiraf oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Tambahan, untuk meter gas, anda perlu menghantar meter anda kepada National Metrology Institute of Malaysia (NMIM) untuk kelulusan, dan kelulusan bertulis ini perlu juga dihantar kepada ST.