Lesen Gas
Siapakah yang perlu memohon lesen gas?
Mana-mana orang yang menjalankan aktiviti seperti berikut perlu memohon lesen gas kepada Suruhanjaya Tenaga:
a) pengimportan gas ke terminal penggasan semula;
b) penggasan semula gas;
c) pengiriman gas;
d) pangangkutan gas;
e) pengagihan gas;
f) peruncitan gas; atau
g) penggunaan gas.
Apakah itu aktiviti pengimportan gas ke terminal penggasan semula?
Aktiviti pengimportan gas ke terminal penggasan semula adalah aktiviti membawa atau menyebabkan supaya dibawa gas asli cecair ke dalam atau di dalam Malaysia dengan apa-apa cara selain melalui pindah kapal.
Apakah itu aktiviti penggasan semula gas?
Aktiviti penggasan semula gas adalah aktiviti untuk menggaskan semula gas asli cecair kepada gas asli yang dijalankan oleh pemegang lesen penggasan semula dan termasuklah menerima, menyimpan dan selepas penggasan semula, menghantar gas itu melalui talian paip terminal penggasan semula.
Apakah itu aktiviti pengiriman gas?
Aktiviti pengiriman gas adalah aktiviti pemegang lesen pengiriman membuat suatu perkiraan (arrangement) dengan pemegang lesen penggasan semula, pengangkutan dan pengagihan untuk memproses dan menghantar gas melalui terminal penggasan semula, talian paip penghantaran atau talian paip pengagihan ke premis pengguna.
Apakah itu aktiviti pengangkutan gas?
Aktiviti pengangkutan gas adalah aktiviti yang dijalankan oleh pemegang lesen pengangkutan bagi penghantaran gas melalui talian paip penghantaran di bawah suatu perkiraan dengan pemegang lesen pengiriman.
Apakah itu aktiviti pengagihan gas?
Aktiviti pengagihan gas adalah aktiviti yang dijalankan oleh pemegang lesen pengagihan untuk mengendali dan menyenggara talian paip pengagihan bagi menghantar gas melalui talian paip pengagihan.
Apakah itu aktiviti peruncitan gas?
Aktiviti peruncitan adalah aktiviti penjualan atau penggunaan gas melalui sistem perpaipan pemegang lesen peruncitan ke premis pengguna yang mana gas sama ada-
a) diterima dari suatu tangki atau silinder penstoran di atas harta atau premis pemegang lesen peruncitan itu sendiri atau di atas harta premis pemunya atau penghuni; atau
b) diterima melalui talian paip pengagihan.
Apakah itu aktiviti penggunaan gas?
Aktiviti penggunaan gas adalah aktiviti menggunakan gas oleh pemegang lesen gas persendirian.
Siapakah yang boleh memohon lesen?
JENIS LESEN | PEMOHON LESEN |
---|---|
Lesen Pengimportan ke Terminal Penggasan Semula | Syarikat yang melakukan aktiviti pengimportan gas asli cecair ke terminal penggasan semula. |
Lesen Penggasan Semula | Pemunya kemudahan terminal penggasan semula |
Lesen Pengiriman | Syarikat yang memproses dan menghantar gas melalui terminal penggasan semula, talian paip penghantaran atau talian paip pengagihan. |
Lesen Pengangkutan | Pemunya talian paip penghantaran |
Lesen Pengagihan | Pemunya talian paip pengagihan |
Lesen Peruncitan | Pemunya sistem perpaipan |
Lesen Gas Persendirian | Pemunya sistem perpaipan |
Bagaimana proses permohonan lesen boleh dilakukan?
Permohonan lesen gas boleh dilakukan melalui sistem atas talian iaitu oas.st.gov.my
Pemohon perlu memilih borang JGL: Permohonan Lesen Gas dan pilih jenis lesen yang ingin dipohon.
Panduan Permohonan sila klik di sini
Berapakah fi bagi lesen gas?
Kadar fi lesen adalah pada kadar yang ditetapkan dalam Bahagian I, Jadual Ketiga, Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997 seperti berikut:
JENIS LESEN | KADAR FI SETAHUN |
---|---|
Lesen Pengimportan ke Terminal Penggasan Semula | 0.1 sen/MMBTU |
Lesen Penggasan Semula | 0.5 sen/MMBTU |
Lesen Pengiriman | 0.1 sen/MMBTU |
Lesen Pengangkutan | 0.5 sen/MMBTU |
Lesen Pengagihan | 1 sen/MMBTU |
Lesen Peruncitan | Pepasangan Kelas I - RM 600 Pepasangan Kelas Kelas - RM 400 Pepasangan Kelas Kelas - RM 200 |
Lesen Gas Persendirian | Pepasangan Kelas Kelas - RM 300 Pepasangan Kelas Kelas - RM 200 Pepasangan Kelas Kelas - RM 100 |
Bagaimanakah cara pembayaran fi lesen gas?
Pembayaran perlu dilakukan secara atas talian melalui sistem OAS-Online Application System.
Bilakah saya perlu memperbaharui lesen gas?
Pembaharuan lesen gas hendaklah dibuat pada masa yang ditetapkan iaitu tidak kurang daripada dua bulan sebelum tarikh habis tempoh lesen itu. Pembaharuan lesen boleh dilakukan melalui sistem atas talian iaitu oas.st.gov.my. Pemohon perlu memilih borang JGL: Permohonan Lesen Gas, pilih ‘Pembaharuan’ dan pilih jenis lesen yang ingin diperbaharui.
Apakah keperluan penyenggaraan terhadap sistem perpaipan gas?
Sistem perpaipan perlu disenggara mengikut jadual seperti dibawah:
Sektor | Tempoh Penyenggaraan |
---|---|
Sektor Komersil | 2 tahun sekali |
Sektor Domestik | 3 tahun sekali |
Nota:
1. Sektor Komersil terdiri daripada pusat membeli belah, hotel, resort, kelab, restoran, institut pendidikan, bagunan pejabat, dobi.
2. Sektor Domestik terdiri daripada kondominium, apartment, pengsapuri, rumah kediaman.
Perlukan sistem perpaipan ini disenggara?
Ya. Sistem perpaipan hendaklah disenggara dalam keadaan baik dan cekap untuk memastikan keselamatan orang dan keselamatan hendaklah dipatuhi setiap masa untuk mencegah daripada berlakunya bahaya. Orang bertanggungjawab bertanggungjawab untuk memastikan standard keselamatan sistem perpaipan adalah dipatuhi.
Siapakah yang boleh dilantik untuk menyenggara sistem perpaipan?
Pihak kontraktor gas yang berdaftar perlu dilantik bagi tujuan penyenggaraan sistem dan pemeriksaan dan pengujian tersebut perlu diperakui oleh orang kompeten gas yang bersesuian.
Bolehkah lesen gas digantung atau dibatalkan oleh Suruhanjaya Tenaga?
Ya. Lesen gas yang telah diberikan boleh digantung atau dibatalkan jika-
a) pepasangan gas itu tidak dikehendaki untuk digunakan lagi;
b) pepasangan itu didapati tidak selamat digunakan; atau
c) pemegang lesen telah melanggar atau tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997.
Perlukan pihak kondominium atau pangsapuri memohon lesen gas daripada Suruhanjaya Tenaga?
Ya, mana-mana premis kondominium atau pangsapuri yang melakukan aktiviti penjualan atau penggunaan gas melalui sistem perpaipan yang mana sumber gas diterima daripada suatu tangki atau silinder penstoran atau daripada talian paip pengagihan perlu memohon lesen peruncitan gas.
Bagi premis kondominium atau pangsapuri yang telah diambilalih oleh pihak perbadanan pengurusan, permohonan lesen gas perlulah dilakukan oleh pihak perbadanan pengurusan yang berdaftar di bawah Akta Hakmilik Strata 1985.
Bagi premis kondominium atau pangsapuri yang belum diambilalih oleh pihak perbadanan pengurusan, permohonan lesen gas perlulah dilakukan oleh pihak pemaju.
Jika saya terlupa ID dan kata laluan untuk membuat permohonan baru atau pembaharuan di OAS - Online Application System, apa yang perlu saya lakukan?
Pemohon boleh memohon untuk reset ID dan kata laluan pada bahagian ‘Bantuan dan Maklumbalas’ pada laman sesawang OAS.